Pelakon yang sedang meningkat naik, Mia Ahmad mengakui terlalu awal untuk mengiyakan ada cinta terbit antara beliau dengan penjaga gol dari pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi.
Mia yang ingin bersikap jujur dengan peminatnya mengakui hubungannya dengan Izham sekadar rakan biasa. Tidak mahu terlalu hebat bercerita sesuatu yang dia sendiri tidak pasti, pelakon cantik ini lebih selesa membiarkan waktu menentukan perjalanan hubungan itu.
“Kami berkenalan baru setahun, kala ini tiada apa yang serius antara kami. Mungkin disebabkan dia seorang pemain bola sepak, orang memberikan perhatian yang berbeza tentang persahabatan kami,” katanya.
Namun buat masa ini lebih senang untuk dia menjelaskan fakta bahawa dia dalam fasa tanpa cinta terhadap mana-mana lelaki.
“Kita lihat macam mana, saya tidak mahu bercakap tentang sesuatu yang tidak pasti akan terjadi. Pada saya soal ini juga terlalu peribadi.“Bagaimanapun saya tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit, sebab itu jika benar ada yang berlaku antara kami, saya akan kongsikan kelak,” katanya.
Tidak menolak sudah memikirkan soal perkahwinan, namun tiada tanda ke arah merobah status diri dalam waktu terdekat. Selesa berkawan dan hanya mahu orang di luar mengetahui Izham adalah seorang yang baik, tanpa selindung mengakui dirinya senang sebegitu.
“Memang ada fikir soal perkahwinan, kalau ikutkan di umur saya sekarang memang sesuatu yang perlu. Namun saya tidak fikir ia akan berlaku dalam waktu terdekat. Soal Izham pula apa yang boleh saya cakap, saya tidak nafikan bahawa dia adalah seorang lelaki yang baik,” katanya.
Apapun, jika sudah jodoh mereka tak kemana jua. Kita doakan yang baik-baik sahaja buat Mia Ahmad dan Izham Tarmizi.
0 Response to "Mia Ahmad Jelaskan Isu Gosip Cinta Dengan Penjaga Gol JDT "
Post a Comment