Sebelum ini bintang Akademi Fantasia musim 7 (AF7), Aishah Bujang mengakui bahawa pelakon Johan As'asri ada datang dan masuk ke biliknya pada pukul 3 pagi di sebuah hotel di Singapura pada bulan lalu.
Dakwa Aisyah, tujuan pelakon drama dan filem 'Juvana' itu hadir ke biliknya adalah sekadar mahu berborak dengannya. Aishah juga memberitahu bahawa mereka berdua ada bertukar-tukar nombor telefon.
Wanita berusia 26 tahun itu juga mengatakan Johan datang dengan ditemani oleh beberapa orang rakan lain.
Bagaimanapun, jawapan berbeza diberikan oleh Johan apabila beliau menafikan mengetuk pintu bilik wanita itu, apatah lagi masuk berborak di dalam bilik Aishah seperti yang didakwa.
Ketika dihubungi, Johan berkata, dia tidak tahu bagaimana khabar angin tersebut boleh timbul, sedangkan hal itu tidak pernah terjadi.
"Saya pelik kerana seingat saya, apa sahaja yang dikatakan oleh Aishah, hal itu tidak pernah berlaku. Sepanjang majlis di Singapura, saya ditemani oleh pengurus, Faizal Saharuni dan memang tiada masa untuk pergi melepak di bilik orang lain terutama di bilik anak dara pada waktu sedemikian (pukul 3 pagi).
"Selepas majlis itu tamat, saya dan pengurus keluar sebentar untuk bertemu keluarga serta rakan-rakan di Singapura. Kami kemudian pulang ke hotel dan terus naik ke bilik untuk tidur.
"Saya tidak ingat pula ada singgah ke bilik orang lain kerana badan pada masa itu sudah penat dan cuma mahu berehat.
Seingat saya, kami berborak sebentar ketika di majlis. Kemudian, kami ada berbual sewaktu terserempak di dalam lif. Oleh sebab itu, saya hairan bila masa pula saya pergi ke biliknya dan masuk ke dalam untuk melepak," jelas Johan.
Ditanya reaksinya terhadap kenyataan yang diberikan oleh Aishah baru-baru ini, kata Johan yang beliau enggan memanjangkan isu tersebut.
"Saya malas hendak panjangkan isu ini kerana tidak berbuat apa-apa kesalahan seperti yang didakwa.
"Jika itu kenyataannya, saya reda kerana masing-masing tahu bila, di mana dan apa yang kami lakukan pada ketika itu. Apa yang Aishah beritahu, itu adalah haknya dan saya tidak boleh halang," katanya.
Namun begitu, Johan memberitahu bahawa dia ada memberi nombor telefon kepada Aishah tetapi tidak pernah meminta nombor wanita itu seperti yang didakwa.
"Mungkin saya ada memberinya nombor telefon saya tetapi tidak pernah meminta nombornya. Sehingga sekarang, kami tidak berhubung untuk berbincang soal ini kerana saya memang tiada nombor telefon Aishah.
"Apa yang boleh dikatakan ialah saya tiada niat buruk terhadap Aishah dan tidak terfikir untuk melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita. Saya juga ingin tegaskan bahawa tiada apa-apa yang berlaku seperti yang ditulis sebelum ini.
"Saya lebih suka biarkan ia senyap sendiri. Apa yang penting, saya tidak bersalah. Lebih baik saya fokus sahaja kepada kehidupan dan kerjaya daripada melayan perkara remeh seperti ini," ujarnya.
0 Response to "ISU DATANG BILIK JAM 3 PAGI - AISHAH BUJANG AKUI, JOHAN AS"
Post a Comment